Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang guru wanita kerugian hampir RM200,000 selepas panik diugut individu menyamar sebagai pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa menerima panggilan telefon pada bulan Jun lalu mendakwa nombor telefonnya terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan pengubahan wang haram.

“Suspek telah memperdaya mangsa supaya membuat pinjaman bank bagi ‘membuktikan’ kemampuan kewangan, kononnya untuk tujuan siasatan.

“Berikutan itu, pada 25 Jun lepas, mangsa telah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM265,000.00 di Bank Islam, Jalan Putra Square, Kuantan,” katanya.

Beberapa hari kemudian, beliau berkata, mangsa diminta menyerahkan butiran penuh akaun bank kepada pihak sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan Bank Negara Malaysia.

Hasil semakan dengan pihak bank, katanya pada tarikh diantara 2 Julai hingga 3 Julai mendapati wang dalam akaun mangsa telah dipindahkan menerusi transaksi sebanyak 21 kali ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan mangsa yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM199,994.00.

“Mangsa menyedari ditipu kemudiannya hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) IPD Kuantan dan kes kini disiasat dibawah Sek 420 Kanun Keseksaan,” tambah Ashari.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau pihak berkuasa.

Masyarakat juga diingatkan supaya tidak sesekali memberikan maklumat perbankan peribadi kepada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast