Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal melarang eksport kayu balak kerana hasil hutan ituperlu digunakan untuk pemprosesan dan kegunaan pasaran domestik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketegasan kerajaan itu bertujuan menstabilkan bekalan bahan mentah selain mengurangkan risiko pembasmian hutan secara berleluasa.

“Dalam industri perkayuan, kita (Malaysia) adalah antara pengeksport perabot berasaskan kayu ke negara luar membabitkan nilai eksport sebanyak RM22.3 bilion setakat 2024 sebab ini kita tanam balik semula ladang membabitkan keluasan 147,000 hektar.

“Tujuan kerajaan membiayai sebahagian daripada pinjaman ini kerana tidak membenarkan kayu ini dieksport secara balak, tetapi perlu digunakan untuk pemprosesan dan kegunaan dalam negara,” katanya menjawab dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH–Bakri) mengenai cadangan mengehadkan eksport kayu balak bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran domestik.

Beliau menjelaskan, kerajaan membenarkan pengeksportan produk berasaskan kayu termasuk perabot dan bahan bernilai tambah lain kerana sektor itu memberikan pulangan eksport yang besar kepada negara.

Pada masa sama, katanya kerajaan turut membenarkan pengimportan kayu balak bagi tujuan pemprosesan perabot atau bahan pembinaan.

Namun ia hanya dibenarkan dari negara yang mengamalkan konsep perladangan hutan secara lestari.

“Jika ambil dari negara yang ladang tidak sustainable (lestari), dia potong dan buat deforestation (basmian hutan) kemudian jual balak, perabot kita mungkin tidak diterima dalam kategori sustainable,” jelasnya.

“Soal sama ada kita benarkan atau tak (import kayu balak), ya tetapi mesti dari negara sumber yang eksport kepada kita untuk diproses menjadi perabot atau bahan berkaitan pembinaan dan datang daripada sumber sustainable.

“Untuk kayu balak kita, kita tak benarkan ia dieksport sebagai balak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast