Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sikijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang mengenakan moratorium terhadap projek kediaman di ibu negara walaupun laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan ibu kota itu bakal mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031, iaitu 28 tahun lebih awal daripada unjuran nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, laporan berkenaan sebenarnya menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula keseimbangan pembangunan fizikal dengan daya tampung bandar, khususnya infrastruktur, perumahan mampu milik, kemampanan alam sekitar dan kualiti hidup penduduk.

“Pandangan (Ahli Parlimen) Bentong yang merasakan berlakunya lambakan pembangunan kediaman di Kuala Lumpur adalah berasas tetapi kurang tepat, mengambil kira pada penghujung tahun 2024, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat penurunan 10.3 peratus unit tidak terjual berbanding tahun sebelumnya,” katanya menjawab soalan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Zaliha berkata demikian menjawab soalan Yong Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu samada kerajaan bercadang meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di ibu negara.

Menurut beliau, pelaksanaan moratorium akan memberi beberapa implikasi negatif seperti penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur yang banyak bergantung kepada sektor pembinaan dan perkhidmatan hartanah, pengurangan kutipan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta peningkatan harga hartanah dan kadar sewa yang menolak keluar golongan B40 dan M40 ke pinggir bandar.

“Keperluan perumahan di Kuala Lumpur masih ada. Menjelang tahun 2040, penduduk di ibu kota ini diunjur mencecah 2.35 juta orang dengan keperluan lebih kurang 783,000 unit rumah baharu.

“Daripada jumlah ini, 40 peratus mestilah rumah mampu milik dan inklusif, termasuk untuk warga emas, OKU, belia serta skim sewa bersubsidi bagi golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Zaliha turut berkata, DBKL telah mencadangkan pelaksanaan perancangan kediaman lebih bersasar melalui zon gunatanah dan tahap intensiti pembangunan, termasuk kawasan Transit Planning Zone (TPZ) dan Transit Influence Zone (TIZ) seperti digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

Selain itu, katanya, DBKL turut melaksanakan kawalan pembangunan berasaskan data dan daya tampung kawasan  bagi memastikan pertumbuhan bandar lebih terkawal.

Pendekatan ini juga akan menggalakkan pembangunan semula berorientasikan transit (TOD), mengawal peluasan bandar secara mendatar serta menilai kapasiti infrastruktur dan kemudahan awam secara berterusan.

“Kerajaan menerapkan konsep Madani dengan memastikan jalan raya, pengangkutan awam, pusat kesihatan dan sekolah dibina seiring projek perumahan baharu. Pendekatan ini bukan sahaja menjamin keselesaan malah mengelakkan kesesakan, kekurangan kapasiti sekolah atau kelewatan penyediaan kemudahan asas,” jelasnya.

Beliau menambah, visi CHASE yang menjadi panduan Jabatan Wilayah Persekutuan turut menekankan perancangan bandar menyeluruh meliputi cadangan infrastruktur, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Melalui integrasi ini, pembangunan Kuala Lumpur dapat diselaraskan dengan lebih teratur sekali gus meningkatkan kualiti hidup warga kota,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast