KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor memberi peringatan keras kepada Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) supaya berhati-hati apabila membangkitkan dokumen rasmi yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) ketika berbahas dalam Dewan.
Ramli menegaskan, walaupun Peraturan Mesyuarat 63 Dewan Rakyat memberikan perlindungan kepada ahli Dewan Rakyat, ia tidak bermakna mereka bebas sepenuhnya daripada implikasi undang-undang.
“Memang, di dalam Dewan Rakyat kita dilindungi oleh Peraturan 63. Tetapi apa-apa dokumen rasmi walaupun disebut di dalam dewan telah dinyatakan sedemikian, apa yang kita bercakap di sini akan dipancar keluar di luar.
“Jika ada maklumat, pertama sekali pihak berkuasa seperti PDRM akan menjalankan penyiasatan,” katanya sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Ahmad Marzuk menyangkal jawapan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar bahawa kos projek penjenamaan semula Tabung Haji (TH) melibatkan jumlah RM5.9 juta.
Ahmad Marzuk berkata, sebelum ini beliau mendakwa anggaran kos projek penjenamaan itu adalah RM20 juta, namun berdasarkan maklumat sulit dan dokumen yang diperolehnya selepas itu mendapati kos projek terbabit adalah RM18 juta.
“Saya ada menerima satu maklumat berdokumen yang sulit dan kalaulah maklumat ini benar saya serah pada menteri untuk menjustifikasikannya. Jawapan menteri yang mengatakan RM5.9 juta terlibat dengan rebranding itu sangat salah.
“Kerana dokumen ini menunjukkan ia adalah sekitar RM20 juta iaitu (kos), sebenarnya dalam dokumen ini RM18 juta. Jadi itu yang (sebelum ini) saya sebut sekitar RM20 juta, sedangkan menteri beritahu RM5.9 juta,” katanya semalam di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Ramli berkata, berdasarkan kepada pengalaman beliau, siasatan akan tetap dibuka sekiranya dokumen rahsia rasmi berkenaan sampai kepada pihak berkuasa.
“Geranti 100 peratus, 110 peratus, (Ahli Parlimen) Pengkalan Chepa akan dibanggil dari mana dapat dokumen itu. Jelaskanlah dan bawah Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 8, jelas.
“Yang paling beratnya Seksyen 16, bila seseorang dituduh beban bukti itu shift (bertukar). Orang yang dituduh kena buktikan dia tak bersalah. Itu anggapan, ini beratnya Akta Rahsia Rasmi,” ujarnya.
Katanya, walaupun ucapan dalam Dewan Rakyat mempunyai perlindungan tertentu, dokumen rasmi tetap tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan boleh menimbulkan implikasi besar di luar Dewan.
“Perhatian pada Yang Berhormat (Pengkalan Chepa) bila nak main dengan dokumen Akta Rahsia Rasmi. Ini pendapat saya, tapi mungkin orang lain ada versi berbeza. Yang Berhormat pun quite familiar (arif) dengan Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 8, Seksyen 16. Be careful, kalau beban bukti itu jatuh pada you (kamu),” katanya lagi.
Peringatan itu dibuat susulan dakwaan Ahmad Marzuk yang mendakwa terdapat percanggahan kos penjenamaan TH, apabila jawapan Mohd Na’im menyebut RM5.9 juta sedangkan dokumen yang diperolehnya menunjukkan jumlah sekitar RM20 juta.
Dalam hal ini, Ramli menasihatkan semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat agar tidak mengambil mudah isu dokumen sulit, sebaliknya memastikan sebarang pendedahan dibuat mengikut saluran betul supaya tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Pada 11 Ogos lalu, Ahmad Marzuk mendakwa sejumlah RM20 juta wang hasil titik peluh pendeposit TH digunakan untuk penjenamaan semula, dan tiga syarikat yang sama ada dimiliki sepenuhnya atau majoriti oleh bukan Islam dan bumiputera telah dilantik.
Minggu lalu juga, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau menggantung Ahmad Marzuk selama dua hari selepas ahli Parlimen Pas itu mencetuskan pertikaman lidah dengan Mohd Na’im.
Ahmad Marzuk yang mencelah ketika Mohd Na’im menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), mendakwa menteri berkenaan gagal menjawab secara terus persoalannya sama ada TH telah menganugerahkan kontrak penjenamaan semula kepada sebuah syarikat milik bukan Melayu secara runding terus.
Dalam ucapan penggulungannya Isnin lalu, Mohd Na’im mengulangi kenyataan TH yang menafikan dakwaan dana haji itu memperuntukkan kira-kira RM20 juta untuk projek penjenamaan. – MalaysiaGazette
















