Datuk Razali Idris

 

 

KUALA LUMPUR – Isu penjenamaan Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya tidak ditangani dengan betul boleh mengundang risiko besar.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, penjenamaan TH bukan sekadar menukar logo atau warna, tetapi melibatkan nilai ibadah, syariah, keberkatan dan maqasid Islam.

Menurut beliau, umat Islam wajar mempersoalkan mengapa syarikat bukan Muslim yang menguruskan imej institusi Islam terbesar negara itu memandangkan mereka mungkin kurang faham secara mendalam tentang `roh’ haji, konsep ibadah dan sensitiviti umat Islam.

Tambahnya, walaupun hasil kerja syarikat bukan Muslim itu mungkin profesional, namun persepsi negatif boleh menjejaskan objektif penjenamaan TH.

Dalam masa sama, kata beliau, TH merupakan institusi umat Islam dan keputusan melantik pihak luar (bukan Muslim) boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan menggunakan kepakaran Muslim tempatan.

“Isu terbaru bukan mempersoalkan penjenamaan tetapi persoalan sekarang pendeposit, umat Islam dan rakyat Malaysia ingin mengetahui secara terbuka bagaimana proses perolehan dilakukan, pecahan kos, serta hasil yang disasarkan dengan pelaksanaan projek tersebut.

“Ini bukan sekadar soal logo Tabung Haji, tetapi strategi untuk memperkukuh tabiat menabung, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, termasuk urusan digital, dan amanah Tabung Haji dalam memelihara harta umat untuk tujuan ibadah Haji.

“Dari perspektif ekonomi Islam dan tadbir urus awam, setiap institusi kewangan, termasuk Tabung Haji, perlu mendahulukan ketelusan (transparency) dan integriti dalam setiap keputusan perolehan, serta menjaga amanah dan maslahat umum,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, isu penjenamaan Tabung Haji dibangkitkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary ketika perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat yang menuntut pencerahan berhubung kos penjenamaan semula agensi tersebut yang dikatakan bernilai RM20 juta dengan tiga firma bukan Islam terbabit dalam projek itu.

Sementara itu, Razali mencadangkan TH menilai semula lantikan syarikat penjenamaan bukan Islam yang mungkin boleh bergabung dengan syarikat Muslim tempatan (konsortium), supaya wujud keseimbangan profesionalisme dan kefahaman syariah.

Selain itu, katanya, cadangan penjenamaan semula mesti ditapis oleh panel ulama, pakar syariah dan ahli akademik Islam.

Dalam masa sama, tambah beliau, TH perlu mengadakan libat urus dengan umat Islam supaya mereka rasa dihargai dan yakin bahawa identiti Islam tetap terpelihara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast