Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang membangkitkan persoalan mengenai mekanisme pemantauan kerajaan terhadap akujanji yang dibuat oleh pengeksport dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan AntiLambakan (Pindaan) 2025.

Datuk Dr Radzji Jidin (PN-Putrajaya) berkata, pindaan itu antara lain membolehkan siasatan digantung pada bila-bila masa sekiranya pengeksport memberikan akujanji yang dipersetujui oleh kerajaan.

“Kalau pengeksport buat akujanji, kerajaan setuju maka siasatan itu akan digantung, maknanya tak diteruskan. Jadi soalan saya, apakah mekanisme pemantauan yang akan digunakan kerajaan bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap aku janji yang telah dibuat termasuk dalam konteks aku janji harga?” soalnya Radzi ketika membahaskan RUU Duti Timbal Balas dan AntiLambakan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau lagi, wujud kebimbangan kemungkinan pengeksport memanipulasi harga selepas siasatan ditangguhkan berasaskan akujanji tersebut.

“Takut nanti di kemudian hari, ada pula permainan harga,” katanya.

Radzi juga turut menyentuh mengenai pengenalan seksyen baharu 37A dan 37B berhubung penyiasatan anti-pemintasan dan penentuan anti-pemintasan dalam akta berkenaan.

Katanya, pemintasan ditarifkan sebagai tindakan pengeksport atau pengeluar menggunakan pendekatan transshipment (proses pemindahan barang) bagi mengelakkan duti timbal balas atau anti-lambakan yang dikenakan kerajaan.

“Dalam konteks perang dagang pada hari ini, khususnya mengambil kira tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang turut memberi tumpuan kepada transshipment, penting untuk kita melihat keadaan di mana Malaysia sendiri mungkin digunakan sebagai lokasi transshipment produk-produk tertentu daripada negara lain,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah terdapat mekanisme penyiasatan dalam akta itu untuk mengenal pasti transshipment yang berlaku di Malaysia.

“Apakah kadar minima konten lokal ataupun kandungan tempatan yang telah ditetapkan oleh ASt untuk memastikan sesuatu eksport dari Malaysia atau negara lain tidak dikategorikan sebagai transshipment dan dengan itu tidak tertakluk pada duti 40 peratus transshipment yang diperkenalkan oleh AS?” soal beliau.

Ahli Parlimen itu juga bimbang dengan risiko eksport Malaysia dikenakan tarif lebih tinggi sekiranya Amerika Syarikat tidak mengiktiraf sijil Rule of Origin (Aturan Asal Barang) yang dikeluarkan oleh MITI.

“MITI kata ini barangan tempatan tapi AS meneliti semula dan menyatakan bahawa ini tidak diiktiraf sebagai barangan tempatan. Adakah wujud risiko bahawa eksport tersebut akan dikenakan tarif yang lebih tinggi?” soalnya lagi.

RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang dibacakan untuk kali kedua di Parlimen, bertujuan untuk memperkasakan satu-satunya undang-undang sedia ada yang melindungi pengusaha tempatan daripada ancaman lambakan dan subsidi tidak adil.

Amalan lambakan berlaku apabila pengeksport asing menjual barangan mereka di Malaysia pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga jualan di negara asal mereka.

Manakala subsidi tidak adil pula merujuk kepada bantuan kewangan oleh kerajaan asing kepada pengeksport mereka, membolehkan mereka menjual produk pada harga sangat rendah.

Pindaan ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan industri Malaysia, selaras dengan matlamat di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Secara keseluruhannya, RUU itu akan memperkukuh kerangka perundangan negara, menambah baik keberkesanan siasatan dan memastikan industri tempatan dapat bersaing secara adil dalam pasaran.

Kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang kelewatan dalam meluluskan pindaan ini akan menjejaskan keupayaan syarikat tempatan untuk terus bertahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast