KUALA LUMPUR – Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang sedang dibentangkan kerajaan sama sekali tidak akan mengusir orang Melayu dari kawasan bandar.
Beliau berkata, akta tersebut dengan jelas menyatakan pemilik akan kekal di kawasan asal dengan memiliki rumah baharu yang dilengkapi kemudahan lebih baik disediakan kerajaan.
“Jika cakap-cakap bahawa ada orang Melayu yang akan diusir ini merupakan satu tohmahan dan fitnah yang sangat jahat,” katanya pada sidang media berhubung RUU URA di Parlimen hari ini.
Menurutnya, jika sesuatu tanah telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu, ia akan kekal berstatus demikian dan tidak boleh diubah oleh mana-mana kerajaan.
“Kuasa kerajaan negeri sama sekali tidak akan terhakis sebaliknya akan diperkasa dan dipertahankan,” kata Sany.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini menegaskan pihaknya akan menentang RUU URA 2025 yang dibentangkan kerajaan esok.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mendesak agar kerajaan menarik semula RUU berkenaan dan tidak akan teragak-agak bersedia untuk berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan sebagai balasan untuk menunjukkan keseriusan mereka menentang RUU tersebut.
Takiyuddin berkata, walaupun tentangan pembangkang tidak mencukupi dia yakin perkara sama akan dibuat oleh blok kerajaan.
Terdahulu, pembangkang menolak RUU URA kerana dikhuatiri memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri.
Dalam kenyataan, Pejabat Sekretariat State Government Four (SG4) berkata, RUU itu jika diluluskan turut memberikan implikasi terhadap hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Pembangkang turut berhujah bahawa Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) sedia ada dengan jelas memperuntukkan urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif negeri melalui pihak berkuasa perancang negeri dan pihak berkuasa perancang tempatan.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan RUU PSB diperkenalkan bagi memperkukuh kesejahteraan bandar serta memastikan hak penduduk asal tetap dipelihara, selain menolak dakwaan kononnya Melayu akan diusir daripada bandar. – MalaysiaGazette

















Tolak RUU ni…RUU yg menghakis hak kerajaan negeri terhadap tanah spt mana termaktub dlm perlembagaan! Malahan menafikan hak sebahagian pemilik tanah yg dinafikan..Kalau kerajaan luluskan, harap Undang2 ini dicabar di mahkamah…