KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun, 2025, meningkat kepada RM2.62 bilion daripada RM2.52 bilion bagi tempoh sama sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan hasilnya susut kepada RM17.07 bilion bagi suku di bawah kajian berbanding RM17.17 bilion sebelum ini.
Dalam kenyataannya hari ini, institusi perbankan itu berkata, bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun, 2025 (separuh pertama 2025), keuntungan bersihnya meningkat kepada RM5.22 bilion daripada RM5.02 bilion sebelum ini, didorong oleh pendapatan bukan faedah, hasil daripada pendapatan pelaburan dan dagangan lebih baik serta penyederhanaan dalam peruntukan rosot nilai bersih.
Perolehan hasil bagi separuh pertama 2025 susut kepada RM33.95 bilion berbanding RM35.51 bilion sebelum ini.
“Pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan perbankan Islam kumpulan pula naik sebanyak RM102.9 juta atau 1.0 peratus kepada RM10.66 bilion manakala prestasi perkhidmatan insurans/takaful meningkat sebanyak RM216.1 juta atau 33.2 peratus kepada RM865.9 juta bagi tempoh separuh pertama 2025 berbanding tempoh kewangan sebelumnya,” katanya.
Selain itu, Maybank berkata, pendapatan operasi lain kumpulan dalam separuh pertama 2025 mencecah RM4.77 bilion iaitu susut RM333.2 juta atau 6.5 peratus daripada RM5.11 bilion dalam separuh pertama 2024, didorong terutamanya oleh kerugian tidak direalisasi pasaran membabitkan penilaian semula liabiliti kewangan.
Perbelanjaan overhed kumpulan mencatat peningkatan sebanyak RM277.0 juta atau 3.8 peratus kepada RM7.52 bilion bagi tempoh separuh pertama 2025 berikutan peningkatan perbelanjaan kakitangan, pemasaran dan kos berkaitan.
“Peruntukan rosot nilai bersih kumpulan ke atas pembiayaan, pendahuluan dan hutang lain berkurangan sebanyak RM41.5 juta atau 4.9 peratus kepada RM807.6 juta manakala peruntukan rosot nilai bagi pelaburan kewangan susut sebanyak RM13.7 juta kepada RM65.2 juta,” katanya.
Mengulas prospek, Maybank berkata, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berterusan di pasaran tumpuan, kumpulan akan mempercepatkan inisiatif dikenal pasti di bawah 14 program strategiknya dalam tahun terakhir pelan M25+ yang bertujuan memperkukuhkan keutamaan pelanggan dan mempercepatkan pemodenan digital serta teknologi bagi mengukuhkan kehadirannya di peringkat serantau.
“Namun, ketidaktentuan dan turun naik yang melibatkan kemungkinan gangguan perdagangan mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan dan prestasi kumpulan susulan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam pelaburan serta aktiviti pengumpulan modal selain turun naik pasaran kewangan.
“Tanpa mengambil kira faktor di luar jangka, kumpulan telah menetapkan penanda aras prestasi iaitu pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11.3 peratus atau lebih bagi tahun kewangan 2025,” katanya. – BERNAMA
















