KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu menerusi lantikan Prof. Dr. Yamin Yasin berkuat kuasa semalam.
Surat pelantikan Yamin ke jawatan itu bagi tempoh dua tahun tersebut disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Prof Dr. Azlinda Azman di Putrajaya.
Sesi penyerahan surat pelantikan itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), JPT, Ahmad Rizal Adnan.
Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi hantaran di laman sosial Facebook semalam memaklumkan, Yamin mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam hal ehwal pentadbiran universiti dan pernah memegang jawatan strategik termasuk Ketua Eksekutif INTEC Education College dari 2014 hingga 2019 serta Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan dari 2019 hingga kini.
Selain itu, katanya, beliau juga berkelulusan dalam bidang sains kimia dan aktif menerajui beberapa kajian penyelidikan.
“Kepakarannya turut diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila sering dijemput sebagai penyampai ucaptama dalam seminar dan persidangan ilmiah,” katanya.
Tambahnya, antara 2021 hingga 2023, Yamin memainkan peranan penting dalam pembangunan kerangka kurikulum akademik UiTM.
Selain itu, katanya, Yamin juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Akademik UiTM Negeri; Ahli Tetap Jawatankuasa Induk Kurikulum UiTM dan Ahli Jawatankuasa Induk Penilaian Akademik UiTM yang bertanggungjawab merangka kurikulum akademik universiti secara menyeluruh.
“Kementerian yakin pengalaman dan reputasi cemerlang yang dimiliki beliau akan memperkukuhkan peranan UiTM sebagai pusat kecemerlangan ilmu seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing di pentas global serta menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















