Pihak polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.

BAYAN LEPAS – Seorang wanita berusia 28 tahun nyaris maut selepas ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya yang juga seorang guru sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya.

Beliau berkata, ibu mangsa sempat menarik anaknya dari katil untuk dibawa keluar, sebelum melihat suspek bertindak mengelar tangan serta lehernya sendiri menggunakan pisau dapur.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher tetapi berada dalam keadaan stabil.

Sazalee.

“Manakala suspek cedera dilaporkan kritikal dan dirawat di zon merah akibat kecederaan di bahagian leher dan pergelangan tangan namun masih dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, pasangan guru berusia 30 dan 28 tahun itu sudah enam tahun berkahwin serta mempunyai seorang anak, selain pernah melanjutkan pengajian Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua di sebuah universiti di Beijing, China.

“Maklumat daripada saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan atau perselisihan rumah tangga.

“Malah, komunikasi mereka malam tadi juga baik dan tiada perkara mencurigakan dikesan.

“Pasangan berkenaan tinggal bersama keluarga pihak isteri dan polis masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast