PUTRAJAYA – Lebih 60 peratus dari 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) gagal dalam pengauditan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) setakat 31 Julai lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini kerana kebanyakan syarikat terbabit gagal memasang peralatan GPS dalam kenderaan perdagangan milik mereka.
“Audit JISA JPJ bagi fasa pertama melibatkan 500 dari lebih 300,000 syarikat kenderaan berat bermula 23 Jun sehingga 31 Julai.
“Antara syarikat yang banyak gagal itu adalah berkaitan dengan penyediaan GPS. Syarikat-syarikat pengendali kenderaan ini sepatutnya menyediakan GPS di dalam kenderaan-kenderaan berat mereka.
“Kebanyakan syarikat yang gagal menyediakan GPS ini, kita akan teliti masalah ini bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya pada sidang media di Galeria Putrajaya, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan pembayaran tanpa tunai melalui kaedah e-dompet di semua kaunter JPJ di seluruh negara menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, GrabPay, MAE dan Boost.

Aedy Fadly juga berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga sebulan kepada syarikat-syarikat yang gagal dalam audit JISA untuk membuat pembetulan mengikut kriteria yang ditetapkan JPJ.
“Kita akan masuk semula untuk semak kembali apa yang telah kita minta supaya dibetulkan tu sama ada dia dibetulkan ataupun tidak, kita bagi dalam sebulan (tempoh).
“Kalau tidak dapat dibetulkan dalam tempoh tersebut, kita akan rujuk mereka kepada APAD untuk mengambil tindakan pembatalan permit.
“Audit JISA berdasarkan kepada ketetapan yang disediakan oleh APAD iaitu peraturan-peraturan dan syarat-syarat permit lebih kurang tujuh kriteria,” katanya.
Ketika ditanya mengenai proses audit kenderaan berat itu selepas ini, beliau berkata, pihaknya belum ada kemampuan melakukan proses itu secara serentak susulan jumlahnya mencecah lebih 300,000 syarikat.
“Ini adalah fasa pertama audit JISA yang kita laksanakan kerana syarikat-syarikat kenderaan perdagangan ini ada banyak, ada 300,000 syarikat dan kita tidak boleh adakan audit secara keseluruhan untuk masuk ke semua syarikat ini.
“Pendekatan yang kita sedang fikirkan bersama Kementerian Pengangkutan ialah untuk melihat bagaimana cara untuk memudahkan audit ini dilaksanakan mungkin menerusi pendigitalan atau sistem sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















