KUALA LUMPUR – MCA menyokong usaha untuk membangunkan semula flat atau bangunan yang usang, rosak dan terbengkalai demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk.
Namun, Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang dibentangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini mengundang kebimbangan kerana terdapat beberapa peruntukan yang lompong dan boleh menjejaskan hak pemilik.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar MCA, Tan Gim Tuan berkata, RUU ini memberi kuasa mutlak kepada menteri atau kerajaan negeri untuk melantik pemaju pilihan mereka bagi meroboh, membersihkan tapak, dan membangunkan semula sesuatu kawasan walaupun bangunan itu tidak usang, buruk atau terbengkalai.
“Lebih membimbangkan, RUU ini tidak menetapkan had umur atau keluasan bangunan. Ini bermakna kawasan perumahan atau kondominium yang baru berusia setahun atau dua tahun juga boleh diwartakan.
“Untuk bangunan berusia kurang daripada 30 tahun, ambang persetujuan adalah 80 peratus, namun kuasa mutlak terletak pada pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, MCA berpandangan RUU yang terlalu terbuka ini berisiko menjejaskan hak pemilik hartanah serta kualiti hidup rakyat.
Oleh itu, MCA mendesak agar RUU ini diteliti semula dengan lebih mendalam, dibincangkan bersama dengan semua pihak berkepentingan, dan tidak diluluskan secara tergesa-gesa di Parlimen. – MalaysiaGazette
















