Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Lebih 25,000 ekar kawasan durian haram telah disekat laluan keluar masuk, manakala 260 ekar tanaman durian haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom, dekat Raub telah ditebang dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan  Rosdy Wan Ismail  berkata,  seramai 45 individu telah ditahan dalam operasi berkanaan melibatkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.

“Kerajaan Negeri Pahang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.

“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat kini memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai 2025 lalu.

Tegas beliau, tangkapan tersebut membuktikan pendirian jelas Kerajaan Negeri Pahang  tidak akan berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan.

Ops Sekat telah mula dilaksanakan sejak 25 April 2024, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun.

“Secara keseluruhan, sebanyak 129 individu telah ditangkap di bawah pelbagai kesalahan, dengan 12 kes dibawa ke mahkamah.

“Sebahagian daripada mereka telah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

“Hukuman ini adalah amaran jelas bahawa Negeri Pahang tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh,” kata beliau lagi.

Operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Kerjasama berkenaan memperkukuh tindakan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanah kerajaan dan hutan simpan kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.

Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast