Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) perlu melakukan perbincangan dengan Ketua Hakim Negara sebelum melaksanakan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya perbicaraan kes berprofil tinggi disiarkan secara langsung.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman berkata, sekiranya cadangan itu mempunyai keperluan mendesak, pihaknya perlu menyemak peruntukan undang-undang sebelum dilaksanakan kelak.

“Saya fikir kita kena berbincang sama ada kalau betul serius, kena bincang dengan Ketua Hakim Negara.

“Sebagai rujukan kepada perkara ini, saya perlu semak terlebih dahulu (peruntukan undang-undang),” katanya kepada pemberita di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mencadangkan supaya prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.

Cadangan itu akan membenarkan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding secara telus, sekali gus ia menunjukkan ketelusan kerajaan.

Azalina berkata, walaupun pendekatan penstriman langsung tidak diamalkan ketika ini, namun prosiding mahkamah dilakukan secara rakaman audio.

“Biasanya kita buat rakaman (suara). Kebanyakan kes (berprofil tinggi mengenai kes rasuah) kita ada rakaman audio,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Kementerian Undang-Undang, Azalina berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan negara.

“Itu tak tahulah. Itu keputusan Perdana Menteri, pengumuman itu saya ucap terima kasih. Jadi biarlah Perdana Menteri buat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast