KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap proses perolehan kerajaan perlu bebas daripada kronisme, salah guna kuasa dan ketirisan yang merugikan negara.
Menurut beliau, amalan penganugerahan kontrak secara runding terus tidak boleh lagi diteruskan kerana ia hanya membuka ruang kepada pelbagai penyalahgunaan.
“Seluruh jentera kerajaan mesti tunduk pada hukum dan undang-undang, bukan dikuasai kepentingan politik atau kelompok tertentu,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa kerangka penting termasuk Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh ekonomi selain meleraikan masalah ketidakadilan yang membelit negara sejak sekian lama.

RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal digubal bagi memastikan semua pihak yang menguruskan dana awam dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap perolehan.
“Keberanian melakukan perubahan ini adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah negara dan memastikan warisan kepada generasi akan datang bukanlah hutang dan kesengsaraan, tetapi Malaysia yang adil, bermaruah dan berdaya saing,” tegasnya.
Anwar juga mengingatkan sejarah kewangan negara dipenuhi pengajaran pahit daripada skandal Maminco, kerugian Bank Bumiputera, urus niaga Forex, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan terbaru, Jana Wibawa.
“Kita mesti memastikan bahawa ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, tetapi tuntutan yang mesti dilaksanakan bagi mengelakkan pengulangan kesilapan lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















