Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT), Nga Kor Ming menerima memorandum sokongan pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (PSB) oleh penduduk dari Taman Sri Indah Sri Petaling, Desa Bakti di Selayang dan Flat Taman Maluri, Cheras ketika di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan tetap dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat esok meskipun menerima tentangan pembangkang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kerajaan memilih untuk berdiri bersama rakyat, bukannya parti politik yang menunggang sentimen.

“Suara rakyat suara keramat. Di sinilah kerajaan Madani memilih untuk teguh berdiri bersama rakyat, bukan parti-parti politik yang memainkan sentimen. Kita nak politik yang membina, yang penting rakyat bersama kita,” katanya.

Seramai 100 orang penduduk dari Taman Sri Indah Sri Petaling, Desa Bakti di Selayang dan Flat Taman Maluri, Cheras hadir bagi menyerahkan memorandum sokongan pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT), Nga Kor Ming ketika di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum sekumpulan penduduk yang menyatakan sokongan terhadap URA di pintu masuk Bangunan Parlimen, hari ini.

Antara yang menyerahkan memorandum itu ialah Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah, Sri Petaling, Rahimah Aghafor, 71, yang merayu agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek pembaharuan semula kediaman mereka.

“Kenapa Program Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak boleh dijalankan sedangkan kami sebagai penduduk mempunyai hak? kami mahu projek ini dicepatkan.

“Lebih 500 orang daripada 600 penduduk telah bersetuju dan yang tidak bersetuju itu hanya tinggal beberapa ‘kerat’ sahaja.

“Kami mahukan rumah baharu, saya sudah tua dan tidak larat lagi untuk menaiki tangga rumah flat ini. Walaupun panas, kami berkumpul hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri KPKT sendiri,” tambahnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT), Nga Kor Ming bergambar selepas menerima memorandum sokongan pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (PSB) oleh penduduk dari Taman Sri Indah Sri Petaling, Desa Bakti di Selayang dan Flat Taman Maluri, Cheras ketika di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

MalaysiaGazette yang berada di lokasi mendapati hampir 100 orang penduduk hadir turut serta dalam penyerahan memorandum itu hari ini walaupun cuaca agak panas.

Mereka terdiri daripada Penduduk Taman Sri Indah Sri Petaling, Desa Bakti di Selayang dan Flat Taman Maluri, Cheras.

Turut hadir, Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu serta Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan; dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Semalam, lebih 100 penyokong hadir di hadapan Parlimen untuk membantah URA dan menyerahkan memorandum kepada Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan.

Beliau menegaskan pembangkang akan menentang RUU itu habis-habisan termasuk bersedia digantung daripada menghadiri sidang sehingga enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast