KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji hari ini mengesahkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai penjenamaan semula lembaga ini pada 18 Ogos 2025 adalah benar.
Dalam kenyataan di sini, TH berkata, fi konsortium perunding bagi kerja penjenamaan adalah RM5.9 juta untuk tiga tahun, melibatkan penyelidikan dan kajian pasaran, audit dan pelan penjenamaan, perhubungan awam dan latihan pembudayaan dalaman.
Setakat ini, TH telah membayar sebanyak RM1.6 juta, mengikut jadual bayaran.
TH menegaskan, tiada sebarang kontrak atau pelantikan lain telah dibuat bagi inisiatif ini dan ia sentiasa komited untuk memastikan semua keputusan yang diambil menepati garis panduan serta kepentingan para pendeposit.
Menjelaskan isu penjenamaan TH di Dewan Rakyat pada tarikh tersebut, Mohd Na’im Mokhtar berkata, syarikat yang dilantik bagi projek penjenamaan itu adalah gabungan konsortium empat syarikat tempatan mempunyai kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan kerja diperlukan.
Beliau berkata, konsortium itu dianggotai golongan profesional berbilang kaum dan pemilihan syarikat berkenaan mendapat kelulusan menerusi kaedah dan tadbir urus perolehan TH yang dikawal selia oleh Lembaga Pengarah.
“Sejak 1963, TH telah melakukan semakan penjenamaan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1969, 1995 dan 2009.
“TH sentiasa mendukung amalan tadbir urus korporat terbaik dan mematuhi segala dasar serta proses perolehan.
“TH sentiasa mengutamakan syarikat bumiputera di bawah dasar perolehannya iaitu pada tahun lalu, 81 peratus daripada vendor dilantik TH adalah syarikat bumiputera melibatkan 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan TH,” katanya.
Bagi projek penjenamaan itu, Mohd Na’im berkata TH mengesahkan kos menggunakan perunding ialah RM5.9 juta untuk tiga tahun dan bukannya RM20 juta seperti yang didakwa. – MalaysiaGazette

















20juta ke 5juta ke Tabung Haji x perlu penjenamaan semula sbb sudah sediada terkenal seluruh dunia tentang urus tadbir yang baik. tidak perlu menggunakan wang Tabung Haji untuk perkara² yang yidak perli