PONTIAN – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menafikan bertindak di luar batasan undang-undang dan keterlaluan dalam mengarahkan penutupan klinik dan pasar raya mini kerana mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsudin berkata, semuanya itu terkandung dalam Undang-Undang Kecil (U.K.K) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP (2019).
Abdul Azim menegaskan, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor perlu dilakukan dengan betul dan bukan dilakukan sembarangan kerana perkara itu dilindungi undang-undang sedia ada.
“U.U.K yang diwartakan oleh PBT di seluruh negara bukan sekadar diwartakan tetapi perlu diguna pakai sekiranya timbul isu pelanggaran peraturan atau undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada 38 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pontian di Pejabat MPPn di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Whips MPPn, Md Israk Abdullah dan Setiausaha MPPn, Tifla Mohd Addi.
Memorandum diserahkan oleh wakil gabungan NGO tersebut, Mohd Fauzi Abdul Rahman kepada Abdul Azim.
Selepas itu gabungan tersebut juga menyerahkan memorandum yang sama ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan berkata, arahan penutupan itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.
Menurut DAPSY, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching pula berkata, arahan penutupan klinik gigi selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dilihat terlalu lama.
Menurut Nie Ching, arahan penutupan itu dilihat seakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana didapati tidak disengajakan.
Malah katanya, perkara tersebut telah disiasat oleh pihak polis yang turut menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak berniat mencabar kedaulatan negara.- MalaysiaGazette
















