Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, saksi penting dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang mengaku berkhidmat untuk Lim Guan Eng dengan menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank seperti yang dipohon bekas Ketua Menteri itu.

Datuk Seri G. Gnanaraja, 44, berkata, beliau menubuhkan syarikat Bumi Muhibah Capital Sdn. Bhd. pada 2016 untuk tujuan pelaburan dan bertindak sebagai pengeluar wang tunggal.

Dalam pernyataan saksi yang dibacakannya semalam, ahli perniagaan itu menyatakan pembukaan akaun syarikat Bumi Muhibah dibuat bagi memenuhi permintaan Guan Eng untuk menyalurkan wang hampir RM30 juta.

Pada prosiding hari ini, ahli perniagaan itu ditanya oleh peguam Ramkarpal Singh mengapa beliau membenarkan syarikat tersebut digunakan untuk melakukan kesalahan.

Gnanaraja yang menafikan perkara itu berkata, ketika itu beliau berkhidmat untuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan perlu melaksanakannya.

Dalam keterangannya, saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, beliau hanya bertemu Guan Eng sebanyak dua kali pada 2017, namun Ahli Parlimen Bagan itu memintanya menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank untuk menerima bayaran berhubung projek tersebut.

Ramkarpal: Kamu katakan di mahkamah, YB Lim Guan Eng ada minta kamu untuk menyediakan syarikat dan akaun bank. Ini adalah pembohongan kerana syarikat itu (Bumi Muhibah) telah ditubuhkan lebih awal iaitu pada 2016, manakala YB Lim meminta anda membuka akaun bank syarikat itu pada 20 Ogos 2017.

Gnanaraja: Saya tidak menipu.

Menurut ahli perniagaan itu, beliau tidak pernah bertemu atau bercakap dengan Guan Eng sebelum itu dan tidak mempunyai nombor telefon mahupun bertemunya selepas 2017.

Katanya, beliau tidak pernah lagi bertemu dengan Guan Eng selepas Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast