Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Mohammad Abdulkarim Al-Issa beramah mesra bersama delegasi yang hadir ke Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan Pemimpin Agama Dalam Menyelesaikan Konflik di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 28 OGOS 2025

PETALING JAYA – Pemimpin agama diseru memainkan peranan penting dalam mempertahankan nilai sejagat, kemanusiaan dan keadilan, termasuk melindungi hak golongan minoriti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ,dunia kini berdepan dengan cabaran kemerosotan kepercayaan terhadap usaha memperjuangkan nilai keadilan, kemanusiaan dan kebenaran.

“Kita sedang hidup dalam sebuah era yang menyaksikan kemerosotan kepercayaan satu defisit bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik, tetapi juga dalam menjunjung nilai keadilan, kemanusiaan dan kebenaran.

“Inilah sebabnya para pemimpin agama tidak mempunyai pilihan selain mengangkat panji keamanan dan moraliti,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama Kali Kedua, di sini, hari ini.

Menurut beliau, cabaran utama yang perlu ditangani kini bukan sekadar ekstremisme agama, dalam masa yang sama ekstremisme sekularisme yang menolak ruang kepercayaan, sehingga mencetuskan kebencian terhadap agama, masyarakat dan budaya.

“Ketidaktoleranan wujud di kedua-dua pihak, sama ada dalam bentuk Islamofobia ataupun pandangan yang memandang rendah tamadun lain. Sebab itulah para pemimpin agama perlu bersama-sama mempertahankan kemanusiaan serta nilai murni yang dikongsi oleh semua agama,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh isu penderitaan di Gaza yang sehingga kini masih menyaksikan pembunuhan kanak-kanak, kemusnahan rumah dan penderitaan berterusan.

“Sehingga sekarang kita masih melihat kanak-kanak dibunuh, rumah dimusnahkan dan penderitaan berterusan. Tapi di mana suara dunia? Di mana suara kemanusiaan?” soalnya.

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama yang membawa tema “The Role of Religious Leaders in Resolving Confficts” disertai oleh para ulama, cendekiawan, pemimpin poltik, ahli parlimen, ahli akademik serta tokoh-tokoh agama Islam dan bukan Islam dari dalam dan luar negara, mewakili lebih 54 buah negara.

Persidangan berkenaan berfungsi sebagai platform dialog antarabangsa yang inklusif, memberi penekanan kepada peranan konstruktif pemimpin agama dalam mempromosikan keamanan, memperkukuh perpaduan sejagat, serta menyumbang secara aktif dalam menyelesaikan konflik dan membina keharmonian antara komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast