BUTTERWORTH – Seorang pengarah jabatan kerajaan di Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan jawatan untuk suapan bagi suaminya pada 2017.
Tertuduh, Hanita Ahmad, 57, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai Gred S41 di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Seberang Perai Utara bagi memberi suapan kepada suaminya, Md Khashim Yahaya atas perniagaan Tegas Enterprise.

Ia bagi “Perkhidmatan Makan dan Minum untuk Program Skim Rondaan Sukarela Daerah Seberang Prai Utara 2017” bernilai RM3,840.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Seberang Prai Utara pada 14 Julai 2017.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan (atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi) jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, dalam rayuan Hanita yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang rendah atas alasan dia perlu menyara anak, suami dan isteri selain masih berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Suami sakit dan tidak mempunyai pendapatan sudah setahun selain perlu menanggung ibu yang berkerusi roda serta menanggung kos-kos lain termasuk pinjaman kereta, bil-bil utiliti kediaman.
“Saya sedar jaminan hanya untuk memastikan kehadiran saya di mahkamah dan bukan hukuman. Saya juga belum didapati bersalah, justeru saya mohon agar jaminan minimum dikenakan,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dimohon pendakwa raya.
Kes ditetapkan 30 September untuk sebutan kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette















