KUALA LUMPUR – “Apakah hak kita yang hidup selesa di rumah besar dengan kereta mewah untuk menidakkan hak rakyat miskin yang terpaksa tinggal di flat retak, bocor dan uzur?”.
Itu pertanyaan pedas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU PSB 2025) bacaan kedua di Dewan Rakyat, sekali gus menepis dakwaan undang-undang itu hanya menguntungkan korporat.
Kor Ming menegaskan, RUU tersebut digubal bagi menyediakan kerangka perundangan khusus untuk menangani cabaran urbanisasi dengan memastikan pembangunan semula bandar dilakukan secara teratur, inklusif, mampan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“RUU ini adalah tentang nasib keluarga berpendapatan rendah yang masih tinggal di rumah usang, yang rosak dan tidak selamat. Mereka berhak menikmati kehidupan lebih baik, sama seperti kita,” katanya.
Kor Ming memberitahu, penggubalan RUU URA melalui proses panjang, telus dan profesional sejak tahun lalu, antara lain kelulusan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) oleh Jemaah Menteri pada 30 Ogos 2023, pelaksanaan kajian impak peraturan (RIA), serta kelulusan dasar MNKT pada September 2024.
Pada 15 Ogos lalu, Jemaah Menteri memberi lampu hijau untuk RUU berkenaan dibentangkan di Parlimen, dan kemudiannya mendapat persetujuan sebulat suara Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-86 pada 20 Ogos lepas.
Kor Ming menegaskan kawasan bagi projek pembaharuan semula bandar bukan ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya dicadangkan sendiri oleh kerajaan negeri dan diwartakan secara rasmi.
Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenal pasti 22 tapak, manakala Kedah mengenal pasti 55 tapak untuk tujuan tersebut.
Katanya, dengan adanya RUU ini, pelaksanaan pembaharuan semula bandar akan lebih teratur menerusi Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Negeri, selain menjamin hak penduduk melalui perlindungan undang-undang yang jelas.
“Kita juga telah mengadakan dua sesi dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, pada Oktober 2024 dan Ogos 2025. Cadangan mereka diambil kira demi penambahbaikan RUU ini,” jelasnya.
Oleh itu, kata beliau, adalah tidak wajar isu rakyat berpendapatan rendah dijadikan modal politik.
“RUU ini bukan untuk pemaju semata-mata. Ia tentang ribuan keluarga yang berhak tinggal di kediaman lebih selesa, lebih selamat,” katanya.
Namun, ahli Parlimen pembangkang serta segelintir dalam kalangan kerajaan bimbang RUU ini memberi kuasa terlalu luas kepada menteri dan mungkin menjejaskan hak pemilik sedia ada.
Sehubungan itu, mereka menuntut jaminan lebih kukuh terhadap proses persetujuan penduduk sebelum sebarang projek dilaksanakan.
Setakat ini, Kor Ming belum lagi habis membaca bacaan keduanya hari ini dan akan disambung pada sidang seterusnya, Oktober depan dengan setiap pihak berpeluang mengemukakan cadangan dan bantahan sebelum ia diluluskan. -MalaysiaGazette
















