KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan pulangan sebanyak RM2.2 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dipacu oleh permintaan kukuh, kecekapan operasi serta pengurusan kewangan berhemat.
Prestasi yang stabil ini membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.
Dianggarkan RM1.5 bilion dalam bentuk dividen akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, termasuk institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan.
Ini mencerminkan komitmen berterusan TNB untuk menjana pulangan kepada pemegang saham dan seterusnya rakyat, dengan jutaan rakyat Malaysia mendapat manfaat melalui pencen dan simpanan.
“Komitmen dividen kami adalah untuk terus memberi ganjaran kepada pemegang saham. Seterusnya, ia turut dipulangkan secara langsung kepada rakyat dan untuk pembinaan negara. Ini mencerminkan etos TNB untuk memberi nilai sambil menyalurkan semula untuk manfaat negara,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

TNB berkata, bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan selamat, kebolehpercayaan merupakan tonggak utama strategi entiti ini.
Untuk itu, TNB telah melabur sebanyak RM5.2 bilion dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, keselamatan bekalan dan peralihan tenaga.
Menurutnya, pada 28 Mei 2025, TNB telah merekodkan permintaan maksimum baharu sebanyak 21,049MW, sekali gus menekankan kepentingan pelaburan ini.
“Usaha dalam aspek ini juga telah membawa kepada penambahbaikan jelas apabila prestasi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) meningkat kepada 23.56 minit bagi setiap pelanggan pada 1H 2025 berbanding 23.92 minit pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.
TNB menambah, pengukuhan ringgit daripada RM4.47/USD pada Disember 2024 kepada RM4.21/USD pada Jun 2025 membantu mengurangkan kos pembiayaan bagi pinjaman TNB dalam mata wang asing dan menyumbang kepada perbelanjaan faedah lebih rendah.
“Penjimatan ini diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan serta aliran tunai lebih baik, mengukuhkan lagi kemampuan TNB untuk mengekalkan pembayaran dividen di samping terus melabur dalam projek infrastruktur jangka panjang dan peralihan tenaga,” kata TNB lagi.
Ujarnya, selain menjana pulangan kewangan, TNB terus menyumbang melalui inisiatif bersasar yang menyokong rakyat Malaysia dan membina komuniti yang lebih kukuh, sambil memacu kesiapsiagaan negara menuju masa depan yang lebih mampan dan berteraskan digital.

Sejajar dengan matlamat ini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan memperkenalkan kursus baharu di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bermula September ini.
Program ini dirangka bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang kian meningkat serta seiring dengan aliran teknologi global, selain mempersiapkan graduan yang sedia untuk kerjaya bernilai tinggi dalam sektor tenaga dan bidang lain, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital dan lestari.
TNB turut memperkukuh impak sosialnya melalui bantuan zakat, dengan RM5.4 juta disalurkan kepada lebih 21,500 penerima asnaf.
Bantuan ini merangkumi projek perumahan di bawah Projek Baiti Jannati, pembaikan dan pendawaian semula rumah, bantuan kepada golongan miskin dan kumpulan memerlukan, serta sokongan bagi tujuan Fisabilillah seperti penambahbaikan masjid dan surau, bantuan kepada institusi tahfiz serta inisiatif kebajikan lain.
Sepanjang separuh pertama 2025, TNB berkata, ia memperuntukkan RM99.7 juta bagi inisiatif komuniti lain melalui sokongan pendidikan menerusi bantuan berjumlah RM64.3 juta yang disalurkan melalui UNITEN dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).
Dengan bantuan ini, seramai 1,515 pelajar di seluruh negara dapat meneruskan pengajian mereka, seterusnya membuka peluang untuk bakat masa hadapan selain menyumbang kepada pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.
TNB turut memperuntukkan RM3 juta untuk diagihkan kepada 276 pelajar kurang berkemampuan dan 50 sekolah di bawah Program Sekolah Angkat TNB bagi kebajikan pendidikan.
Dalam sumbangan khidmat komuniti pula, sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan TNB kepada 93,000 penerima dalam bentuk bantuan makanan, acara komuniti dan program keagamaan.
Menerusi inisiatif penjagaan kesihatan, TNB memperuntukkan kira-kira RM335,000 kepada program yang memberi manfaat kepada sekitar 2,710 individu, termasuk pemberian peralatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM, sokongan pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin serta inisiatif oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita dan Hari Kanser Sedunia 2025.
TNB juga menyalurkan RM541,250 bagi membantu kepada 3,156 individu yang terjejas akibat banjir dan ribut di beberapa negeri serta pelarian Palestin.
Bagi memupuk kecemerlangan sukan negara pula, lebih RM4.8 juta telah disalurkan untuk pembangunan hoki menerusi Konfederasi Hoki Malaysia, klinik latihan dan penyediaan peralatan telah memberi impak kepada hampir 15,750 atlet dan peminat.
Untuk Pulau Tenaga Hijau, TNB turut menyalurkan pelaburan sebanyak RM360,513 untuk pemasangan bumbung solar di SK Pulau Redang dan Masjid Kg Baru Pulau Redang yang memberi manfaat secara langsung kepada 723 individu, sekali gus menyokong penggunaan tenaga yang lebih bersih di sekolah dan rumah ibadat, di samping memupuk kesedaran kelestarian dalam komuniti pulau tersebut.
TNB turut memperuntukkan sebanyak RM2.17 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek panel solar pada bumbung dan lampu jalan berkuasa solar di tapak komuniti berimpak tinggi termasuk hospital Anjung Kasih, rumah ibadat, kampung pulau, sekolah luar bandar serta hab pendidikan.
Bagi hala tuju masa depan, TNB mahu memperkukuhkan visi jangka panjangnya untuk membina ekosistem tenaga moden, berdaya harap dan mampan, sejajar dengan strategi Reimagining TNB 2.0, merangkumi kebolehpercayaan grid, peralihan kepada tenaga bersih, disiplin kewangan dan inisiatif berfokuskan komuniti.
“Komitmen ini telah diiktiraf pada Julai 2025 apabila Brand Finance menobatkan TNB sebagai jenama utiliti kedua terkukuh di dunia dan jenama utiliti nombor satu ASEAN, dengan nilai jenamanya meningkat 35% kepada USD2.3 bilion serta menerima penarafan AAA.
“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan asas kukuh dan kepercayaan terhadap kepimpinan TNB, tetapi juga kesediaannya untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta membangunkan ekosistem tenaga yang mampan dan inklusif,” kata TNB lagi. – MalaysiaGazette
















