Mamak Puteh. Ihsan Foto : Laman sosial Mamak Puteh

KUALA LUMPUR – Isu tunggakan bayaran membabitkan pelawak terkenal, Mamak Puteh dengan syarikat produksi CTG Pictures serta stesen televisyen Awesome TV akhirnya diselesaikan secara rasmi.

Perkara itu dimaklumkan rakan seangkatannya, Shahrol Shiro dalam satu hantaran di hantaran media sosialnya.

“Selepas perbincangan tempoh hari, selesai sudah isu Mamak Puteh bersama CTG Pictures dan Awesome TV,” katanya.

Ihsan : Laman sosial Shahrul Shiro

Dalam hantaran sama, Shahrol turut berkongsi gambar cek bernilai RM17,000 atas nama Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, iaitu nama sebenar Mamak, yang dipercayai dikeluarkan oleh pihak produksi dan stesen televisyen terbabit.

Beliau dalam nada berseloroh turut menasihatkan sahabatnya itu agar menggunakan wang tersebut bagi tujuan yang sepatutnya.

“Gunakan duit itu untuk keluarga, jangan pula dengan kawan-kawan ke Danok (Thailand),” tulis Shahrol.

Turut dikongsikan adalah tangkap layar perbualan WhatsApp daripada Mamak yang mengucapkan penghargaan serta terima kasih atas bantuan yang diberikan Shahrol dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Terima kasih sahabat. Awak banyak bantu saya dalam kes ini. Terima kasih banyak-banyak,” tulis Mamak.

Dalam masa sama, Shahrol turut mengemukakan pertanyaan sekiranya masih terdapat individu lain yang belum menerima bayaran daripada pihak terbabit.

Susulan itu, dua pelakon dan pelawak, Azizul Ammar serta Anas Ridzuan tampil memberikan maklum balas dengan memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima bayaran masing-masing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast