JOHOR BAHRU – Satu jaringan pedofilia yang berkongsi kandungan pornografi bayi dan anak-kanak dalam telegram serta dark web tumpas dengan penangkapan 11 suspek warga asing dan tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M berkata, aktiviti pedofilia tersebut terbongkar selepas penahanan seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik menerusi Op Pedo yang dilakukan bermula 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.
Operasi berkenaan katanya, dilakukan Unit Siasatan Jenayah Siber Terhadap Kanak-kanak (MICAC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan MICAC Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan agensi antarabangsa.
“Kita menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun di kawasan Johor Bahru, hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit suspek utama itu menjumpai puluhan rakaman video dan ratusan gambar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
“Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan, beberapa siri serbuan, tangkapan dan rampasan dilakukan di Johor Bahru, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.
Katanya, pihak polis menahan 10 suspek lain melibatkan dua wanita tempatan, dua lelaki Indonesia, seorang lelaki Myanmar, seorang wanita Suluk dan empat wanita Indonesia berusia antara 25 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan.
Pihaknya turut menyelamatkan tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi lelaki berusia dua bulan hingga lima tahun yang berada dalam kawalan suspek utama dan dikhuatiri sudah menjadikan mangsa.
“Wanita-wanita ini berperanan sebagai penjaga dan pengasuh kepada bayi dan kanak-kanak yang dalam kawalan suspek ini,” katanya.
Selain itu katanya, pelbagai dokumen seperti sijil kelahiran, kad pengenalan orang lain, buku ibu mengandung dan borang kosong Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telefon bimbit dan hard disk dirampas dari rumah suspek utama.
Jelasnya, modus operandi suspek adalah mendapatkan bekalan bayi melalui Facebook yang menawarkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat sebelum berurusan dengan ibu kandung.
“Sasaran adalah wanita yang mengandung anak luar nikah dan membeli bayi tersebut antara RM1,500 hingga RM3,500 termasuk melunaskan bil bersalin hospital,” ujarnya.
Suspek katanya, kemudian berurusan di JPN bersama-sama Ibu kandung bayi tersebut untuk mendapatkan sijil dokumen kelahiran yang sah.
“Semua proses pengambilan anak angkat tersebut dilakukan secara sah dan selepas selesai bayi itu diambil sebagai anak angkat, dia memutuskan hubungan dengan ibu kandung bayi berkenaan selepas dokumen diperoleh.
“Suspek akan menggunakan bayi-bayi tersebut bagi penghasilan bahan penganiayaan kanak-kanak dan menyebarkan video serta gambar berkenaan dalam aplikasi telegram dan dark web bagi mendapatkan ganjaran wang dan pertukaran bahan tersebut dengan ahli kumpulan yang lain,” katanya.
Kumar memberitahu, suspek turut melakukan penderaan seksual termasuk merogol, meliwat dan mendera secara seksual kanak-kanak tersebut bagi memuaskan nafsunya.
Selain itu katanya, siasatan mendedahkan suspek juga akan mencari mangsa di kawasan kejiranan tempat tinggalnya secara rambang dan menyasarkan kanak-kanak perempuan yang tinggal berseorangan di rumah tanpa penjagaan atau seliaan orang dewasa.
“Suspek akan memaksa dan melakukan amang seksual terhadap mangsa serta merakamkan perbuatan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit,” ujarnya.
Hasil siasatan pihak polis katanya, berjaya mengenal pasti tiga mangsa terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun.
Menurutnya, semua mangsa tersebut kini kini ditempatkan dan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tambah Kumar, lima kertas siasatan dibuka antaranya mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) akta yang sama.- MalaysiaGazette
















