Jenazah pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dibawa masuk ke dalam van jenazah selepas penggalian semula kubur bertujuan membolehkan bedah siasat kali kedua di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu. Foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2025.

SEMENYIH – Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Tanah Perkuburan Islam Kg Rinching Ulu, di sini, selesai jam 9.22 pagi ini.

Pusara Allahyarham Syamsul Haris, 22, yang digali semula bermula jam 8.38 pagi berakhir hampir sejam dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 9.36 pagi untuk tujuan proses bedah siasat kedua, bermula petang ini.

Sebelum ini, media melaporkan ibu pelatih Palapes itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berharap kubur anaknya dapat digali semula dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di sini untuk digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.

Proses menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Bagaimanapun jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, di sini, 29 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast