Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa (tengah) dalam Program Pencegahan Jenayah di Kawasan Pentadbiran IPD Sentul.

 

KUALA LUMPUR – Penipuan dalam talian atau online scam kini dikenal pasti sebagai jenayah paling membimbangkan di kawasan Sentul berbanding jenayah kekerasan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, trend jenayah tersebut semakin sukar dikawal dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Untuk jenayah di Sentul setakat ini terkawal dan tidak membimbangkan. Namun, yang menjadi trend sekarang ialah penipuan dalam talian. Itu yang agak sukar untuk kita kawal.

“Jadi, Program Awareness ini kita adakan sebagai salah satu objektif utama untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kejadian penipuan dalam talian atau skim penipuan yang semakin berleluasa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jasni berkata, pihaknya turut mengedarkan sebanyak 600 bungkusan makanan dan risalah pencegahan jenayah kepada orang ramai di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

“Ini kali ketiga program seperti ini dijalankan tahun ini, biasanya secara berkala setiap tiga bulan sekali untuk terus mendekati masyarakat, meningkatkan kesedaran dan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Program berkenaan merupakan anjuran IPD Sentul dengan kerjasama Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan MCPF dalam memastikan program pencegahan jenayah seperti itu dapat dilaksanakan secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast