KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan semua masjid dan surau di Johor melaksanakan solat hajat serta doa selamat selepas empat gegaran berlaku di Segamat sejak kejadian pertama Ahad lalu.
Seri Paduka Baginda menzahirkan titah berkenan memohon perlindungan Allah SWT agar sentiasa melindungi rakyat daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran berkenaan.
“Yang di-Pertuan Agong bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan doa agar negeri Johor serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan dilindungi daripada sebarang malapetaka,” demikian menurut catatan di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini,
Daerah Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter pukul 7.29 minit pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa tersebut dikesan pada jarak 2 kilometer Barat Laut dengan kedalaman 10 kilometer dari Segamat.
Sebelum ini, Segamat merekodkan empat kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada 24, 27 dan 29 Ogos dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1. – MalaysiaGazette
















