KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan muda di negara ini tidak mampu berhadapan dengan hutang negara yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan tampil dengan tata kelola berdasarkan kepada landasan utama.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa negara mewarisi hutang melebihi RM1.5 trilion termasuk `contingent liability’ (liabiliti bersyarat)
“Ada orang mual dan benci bila saya sebut kita warisi hutang lebih RM1 trilion. Ayah meninggal, anak ambil alih syarikat, hutang RM50,000. Anak itu terbeban dengan hutang. Ah, biasa. Apa biasa?
“Tetapi yang akan bayar anak-anak kita. Apakah mereka mampu bayar kalau RM1.6 trilion, RM1.7 trilion, RM1.8 trilion? Tak mampu,” ujar beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, keyakinan pelabur asing dan domestik perlu dikekalkan demi mempertahankan kemakmuran negara dan komitmen menurunkan defisit.
“Berapa defisit masa kita ambil alih kuasa? 5.6 peratus. Tahun pertama kita turunkan, 5 peratus. Kemudian 4.8 peratus. Tahun ini 3.8 peratus. Itu rekod dalam mana-mana negara membangun.
“Tapi dalam masa kita turunkan defisit, gaji naik. Bukan kita turunkan defisit, gaji turun. Kita turunkan defisit, perbelanjaan bagi semua negeri itu naik, termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang — Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu. Tapi yang diwiridkan apa? Zalim, menindas kami.
“Kita cadangkan RON95 dan tarik subsidi. Oi riuh, zalim. Harga minyak RON95, kita turunkan kepada RM1.99. Tolong tanya, negara mana yang turunkan harga minyak dengan keadaan sekarang?,” ujar beliau.
Perdana Menteri turut menegur sikap segelintir pihak yang menuduh kerajaan zalim apabila mengenakan harga pasaran tanpa subsidi.
Beliau menjelaskan, penarikan subsidi hanya untuk warganegara asing namun suara-suara yang berlegar di luar menyatakan harga dinaikkan sehingga membebankan rakyat.
“Apa yang saya umumkan, berbeza daripada
apa yang berlegar dalam media sosial bahawa kerajaan ini zalim kerana tarik subsidi rakyat.
“Yang kita tarik subsidi kepada warganegara asing. Dia tak bayar cukai. Dia bukan warganegara, jadi dia bayarlah harga yang sepatutnya,” ujar Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















