Foto: FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat negara ini khususnya penduduk Selangor merenung kembali erti sebenar kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pejuang bangsa yang telah berkorban dengan sepenuh jiwa dan raga diiringi keringat dan air mata bagi membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Titah baginda, kemerdekaan bukan sekadar simbolik untuk merayakan sambutan hari merdeka, tetapi suatu amanah besar yang perlu dipelihara oleh setiap warganegara Malaysia dengan penuh rasa tanggungjawab, perpaduan dan semangat jati diri yang kental.

Sultan Sharafuddin bertitah, walaupun kebebasan bersuara merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun ia mesti digunakan dengan penuh berhemah dengan batas dan had yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Segala pandangan dan kritikan hendaklah dibuat secara berhemah demi kebaikan bersama dan bukannya dijadikan wadah untuk menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menjatuhkan maruah orang lain,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 seperti disiarkan menerusi laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sementara itu, baginda turut bertitah menekankan bahawa semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum, agama dan budaya perlu sentiasa dipelihara.

Titah baginda, rakyat hendaklah menanamkan jati diri pada negara serta menghormati pemerintah yang dipilih melalui proses demokrasi yang diamalkan di negara ini demi kestabilan dan kesejahteraan negara.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah menyeru seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat persaudaraan dan muafakat tanpa mengira perbezaan serta sentiasa menghargai nikmat keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

Bagi turut bertitah menyeru seluruh rakyat agar menghayati nilai kesetiaan, hormat-menghormati dan tanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat; mengambil peluang kemerdekaan ini untuk memperkukuh pembangunan diri, keluarga dan negara serta lembali semula kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast