Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Madani berjaya memecahkan `tembok’ kartel yang beroperasi berpuluh-puluh tahun dalam usaha memerdekakan negara daripada rasuah dan penyelewengan.

“Antaranya kartel ayam yang `bermaharajalela’ sejak puluhan tahun, membuktikan kerajaan pimpinannya tidak akan bertolak ansur terhadap isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Perdana Menteri berkata, semangat kemerdekaan bermakna kerajaan bertekad membebaskan negara dari segala bentuk kecurangan, rasuah, penyeludupan dan kegiatan haram.

“Saya sudah kata, kita tidak akan bertolak ansur, saya sudah panggil badan-badan penguatkuasaan. Fight them. Fight the cartel. Fight kumpulan-kumpulan yang menggunakan cara-cara haram dan khianat untuk merosakkan sendi negara ini.

“Kedua, semangat dan pengorbanan rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Polis Diraja Malaysia dan semua. Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada,” ujar beliau.

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini.

Peserta bergambar sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2025

 

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam ucapannya, Anwar selanjutnya berkata, kerajaan Madani akan terus melaksanakan program ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan dan bekerja dalam satu pasukan.

Ujar beliau, kerajaan akan menggerakkan seluruh kekuatan dan jentera untuk menyantuni rakyat, mengurangkan tekanan dan menjamin keselesaan.

Katanya, amalan-amalan sama ada sikap bobrok ataupun keinginan untuk mengaut kekayaan luar daripada peraturan, mesti dihentikan.

“Saya terima kenyataan bahawa ada masalah yang harus kita tangani dengan baik. Setiap sidang jemaah menteri tidak pernah berlalu tanpa mempertikaikan soal-soal yang dihadapi oleh rakyat.

“Sama ada pendidikan, kesihatan, harga barang, harga telur, harga ayam, ini semua dibincang panjang oleh negara. Naik harga lima sen, itu merunsingkan kita, walaupun kita tahu di negara-negara luar naik lebih mendadak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast