Peguam, Naran Singh dan Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 semasa menunjukkan bahan bukti pada media di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Rakaman salinan audio dalam pemacu pena (pendrive) dan bukti lain berkait kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai akan diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, kesemua bukti itu akan diberikan kepada Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fazley Ab Rahman yang berada di Institut Perubatan Forensik Negara I (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

“Antara bahan bukti kita serahkan terdiri daripada pendrive audio rakaman perbualan invidividu ‘A’ yang menceritakan kejadian yang berlaku ke atas Syamsul Haris. 

“Ia termasuk transkrip perbualan mengandungi 44 muka surat, serta gambar gambar Syamsul Haris sebelum dan selepas kematiannya kepada KPP D5, Fazley.

“Jadi kita harap beberapa bukti yang ada akan menjadi petunjuk bagi kes ini untuk mengesan siapa yang terlibat,” katanya kepada pemberita di perkaranga IPFN di sini hari ini.

Peguam, Naran Singh dan Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 menunjukkan bahan bukti pada media di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 OGOS 2025.

Tambah beliau, setakat ini proses bedah siasat yang sudah mengambil masa enam jam sejak pukul 9 pagi tadi ke atas Allahyarham Syamsul Haris berjalan dengan lancar.

“Pegawai penyiasat kes, Asisten Superitenden Syukri juga memberi kerjasama baik dengan kami dan sebarang perkembangan bedah siasat ini akan dimaklumkan kemudian,” jelasnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan seramai tiga pakar patalogi dari IPFN menjalankan proses bedah siasat kali kedua terhadap jenazah Syamsul Haris yang bermula jam 9 pagi tadi.

Naran Singh berkata, proses autopsi itu diketuai oleh pakar patologi HKL, Dr. Siew Sheue Feng serta dibantu pakar lain, dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.

Pada 25 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun,45, memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Untuk rekod, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast