P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak akan ditarik balik atau ditangguhkan untuk kelulusan di Dewan Rakyat sekiranya ia benar-benar sempurna dan tidak bermasalah.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr. P. Ramasamy berkata, RUU itu juga tidak akan ditentang pelbagai pihak dan merentasi parti politik sekiranya ia merupakan dokumen yang baik.

Namun, dakwa beliau, RUU itu ditolak kerana disediakan dengan tergesa-gesa tanpa banyak kajian, tanpa memahami sepenuhnya implikasi terhadap komuniti etnik, sejarah mereka apatah lagi persoalan warisan.

“Bolehkah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang begitu beria-ia mempertahankan rang undang-undang asal mengatakan bahawa aspek gentrifikasi dalam rang undang-undang itu tidak akan mencairkan atau menyuraikan komuniti daripada kelompok etnik di kawasan bandar utama?

“Sejauh mana keyakinan Anwar untuk mengatakan bahawa orang Melayu dan India tidak akan terjejas oleh proses gentrifikasi yang licik ini?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kelmarin media melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, RUU PSB perlu dilaksanakan bagi memberikan ruang kepada projek pembinaan semula kediaman yang lebih selesa untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ramasamy mengingatkan kerajaan khususnya Anwar yang mana ambang persetujuan yang ditetapkan di bawah RUU PSB tidak akan dapat meminimumkan kuasa pemaju, kerajaan negeri dan pihak lain dalam menentukan pembangunan bandar di negara ini.

Jelasnya, pemilik bangunan biasa tanpa sokongan kewangan dan bantuan guaman mungkin akan menjadi mangsa kuasa pasaran di bawah RUU itu.

“Mungkin Anwar sendiri perlu dididik tentang sifat halus dan licik proses gentrifikasi ini.

“Anwar mungkin tersinggung dengan penentangan terhadap RUU PSB, tetapi beliau tidak sepatutnya berfikir bahawa beliau sahaja yang memahami dan menghargai keperluan pembangunan atau pembangunan semula bandar.

“Keangkuhan bukanlah cara untuk membincangkan persoalan pembangunan bandar dalam pelbagai manifestasinya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast