KUALA LUMPUR – Tiga individu didakwa di Mahkamah Syariah Daerah Batu Pahat, Johor hari ini terkait dakwaan pemujaan salah seperti yang dirakam menerusi video yang tular baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, seorang lelaki didakwa tengah hari tadi di bawah Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 bagi dakwaan Kesalahan Yang Berhubung Dengan Akidah: Pemujaan Salah.
Katanya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, tambah beliau, dua lagi lelaki akan dituduh di bawah Seksyen 43(b) Enakmen yang sama bagi dakwaan kesalahan bersubahat yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah hukuman Seksyen 3 yang tersebut.
“Kerajaan Johor memberi nasihat kepada semua umat Islam di Johor agar terus berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Assyairah dan Al Maturidiah dengan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
“Sebarang perlakuan yang bersalahan dengan hukum Islam akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan perundangan sedia ada yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, tular video ‘Show Puja Jin Batu Pahat’ berdurasi beberapa minit yang dimuat naik di laman sosial Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul dan melakukan ritual diiringi paluan gong dan alunan muzik di Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Dalam video terbabit, dua lelaki kelihatan seperti kerasukan dan persembahan ditonton oleh orang ramai yang memenuhi kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tersebut. – MalaysiaGazette
















