Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Keputusan menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) membuktikan Kerajaan Madani sebuah kerajaan yang mendengar suara hati rakyat.

Malah, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, tindakan itu juga wajar dengan tekad untuk penambahan beberapa input penting yang telah dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, RUU itu wajar diteruskan untuk dilaksanakan khususnya bagi meningkatkan kekuatan orang Melayu untuk menguasai kawasan-kawasan bandar.

Apatah lagi, jelasnya, RUU itu juga sama sekali tidak menjejaskan status tanah rizab Melayu yang mana tanah yang telah diwartakan sebagai rizab Melayu akan terus kekal dengan status tersebut.

Dalam masa sama, tambah beliau, kaum bukan Melayu pula tidak perlu bimbang kerana status pemilikan tanah masih kekal seperti sebelum ini yang mana tanah hak milik tetap akan kekal sedemikian.

“Inilah sikap kebertanggungjawaban kerajaan yang melihat kepada kepentingan semua lapisan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Media sebelum ini melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 yang sepatutnya berlangsung Khamis lalu, ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Sementara itu, Muhammad Faiz mengingatkan orang Melayu supaya tidak perlu bimbang dan jangan termakan dakyah tipu pembangkang kononnya membela Melayu dengan menolak RUU tersebut, tetapi sanggup melihat orang Melayu hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan.

Ujarnya, pemilik yang tinggal di flat yang usang dan kotor sudah semestinya bersetuju dengan RUU PSB itu, melainkan penyokong pembangkang yang membantah dengan menunggang api sentimen perkauman kerana terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

“Jika mereka tidak berniat menjatuhkan kerajaan, tidaklah cadangan RUU PSB ini disokong oleh pemimpin Pas ketika menjadi kerajaan dahulu.

“Perikatan Nasional (PN) takut kepada pembangunan kerana pemikiran mereka yang tidak ada idea progresif dan suka kepada kemunduran.

“Kemunduran sama sekali tidak diizinkan dalam Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut mencadangkan kerajaan dan pemaju menerusi RUU PSB tersebut menyediakan satu langkah konkrit bagi memastikan orang Melayu (bukan pemilik asal) terutama golongan muda diberikan keutamaan untuk membeli unit rumah baharu pada harga yang kompetitif. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast