Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna biru dengan nombor pendaftaran, WWW1 hadir pada sambutan Hari Kebangsan ke-68 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna biru dengan nombor pendaftaran, WWW1 ketika hadir pada sambutan Hari Kebangsan ke-68 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Dataran Putrajaya di sini pagi ini.

Baginda tiba tepat pukul 8 pagi dengan disambut sorakan pengunjung yang telah berkampung sejak tengah malam tadi.

Sejurus keberangkatan baginda di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.

Acara berprestij itu diiringi upacara menaikkan Jalur Gemilang, serentak dengan 14 das tembakan kehormatan melambangkan kesatuan 14 negeri, dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, edisi ke-68 sambutan itu mencerminkan semangat perpaduan nasional yang kukuh, diserikan dengan pelbagai acara istiadat, persembahan serta perarakan yang memperlihatkan kekuatan rakyat dan negara secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast