LONDON – Pemain buangan Manchester United, Alejandro Garnacho akhirnya menjadi milik Chelsea dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £40 juta (RM228 juta).
Pemain antarabangsa Argentina berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak selama tujuh tahun dengan pasukan juara dunia.
“Ia saat yang luar biasa buat keluarga saya dan saya kerana dapat menyertai kelab hebat ini dan tidak sabar untuk mula bermain.
“Saya menonton Piala Dunia Kelab dan menyertai juara dunia adalah sesuatu yang istimewa dan kami adalah pasukan terbaik di dunia. Ia sangat menakjubkan berada di sini dan saya amat gembira,” katanya di laman web kelab London itu.
Penyerang sayap antarabangsa Argentina itu turut hadir di Stamford Bridge menyaksikan The Blues melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Fulham 2-0 malam tadi.
Garnacho menjaringkan 26 gol dalam 144 penampilan bersama United termasuk ketika kemenangan 2-1 Red Devils ke atas Manchester City pada final Piala FA 2024.
Namun dia tersisih daripada perancangan Ruben Amorim di Old Trafford dan termasuk dalam kumpulan kecil bersama Antony serta Jadon Sancho yang diketepikan daripada sesi latihan pasukan utama musim ini.
Kehadiran Garnacho menjadikan jumlah perbelanjaan Chelsea dalam jendela perpindahan kali ini melebihi £250 juta (RM1.42 bilion). – Agensi
















