SEBERANG PERAI – Seramai 30 individu ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel bajet membabitkan tiga daerah di tanah besar hari ini.
Kesemua mereka berusia antara 21 hingga 45 tahun itu terdiri daripada 16 pasangan yang ditahan menerusi Ops Ambang Merdeka yang dilakukan secara berasingan bermula pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Muhamad Helmi Rosley berkata, kesemua pasangan itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang ikatan sah pernikahan.
“Dalam serbuan ini, ada lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Lorong Kampung Benggali, Butterworth namun tindakannya berjaya dikesan sebelum tangkapan dilakukan.

“Kita juga menahan dua lelaki termasuk seorang duda bersama pasangan warga asing masing-masing yang bukan beragama Islam.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pemandu lori bersama wanita warga Indonesia,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini.
Turut sama dalam operasi tersebut anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dan Cawangan Pencegahan Khas Angkatan Tentera Malaysia.
Mengulas mengenai alasan pasangan tersebut, Muhamad Helmi berkata, ada yang memberi alasan hanya mahu berehat sebentar selepas keluar makan sempena malam hari kemerdekaan walhal mereka berasal dari kawasan Kepala Batas yang tidak jauh dengan Butterworth.
“Kalau kita lihat alasan yang diberikan kebanyakan individu itu merupakan alasan biasa dalam kalangan pelaku kesalahan jenayah syariah.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996,”katanya.
Tambah beliau, operasi sebegini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kawasan sekitar Pulau Pinang bebas daripada aktiviti tidak bermoral.
“Keberkesanan tindakan ini juga merupakan hasil fokus yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa MMK (EXCO) Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid terhadap aspek pencegahan, yang diterjemahkan menerusi pelaksanaan operasi berterusan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP,” katanya. – MalaysiaGazette
















