KUALA LUMPUR – Sebuah kereta ‘tersangkut’ dalam Lorong di Plaza Tol Sungai Long, Kilometer 10, Lebuhraya SILK arah Semenyih dekat sini hari ini.
Siasatan polis mendapati semasa kejadian, kereta Hyundai Elantra warna hitam tersebut dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 24 tahun, bersama seorang penumpang wanita berumur 20 tahun.
Mereka dalam perjalanan dari arah Balakong menuju ke arah Semenyih.
“Apabila tiba di Plaza Tol Sungai Long, pemandu telah hilang kawalan ketika memasuki lorong Touch ‘n Go, lalu melanggar batu penghadang dan terbabas ke dalam lorong tol tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dalam kenyataan.
Akibat kejadian, kedua mangsa mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Kajang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,00 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau menghubungi Sarjan Khairil Azuat Khairol Anuwa di talian 018-9007723 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















