Gelagat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persembahan Teres Grafik Manusia pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 sebagai yang terbaik dalam sejarah negara.

Beliau berkata, persembahan membabitkan 2,000 pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu berjaya menzahirkan semangat patriotik rakyat selain menggambarkan kreativiti dan kebersamaan generasi muda.

“Saya bangga dengan anak-anak, ini pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia. Belajar baik-baik dan teruskan usaha,” katanya ringkas ketika menyampaikan penghargaan kepada peserta terbabit di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyifatkan, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini sebagai sesuatu yang amat luar biasa kerana dihadiri pengunjung pelbagai kaum dan usia.

Katanya, penganjuran kali ini amat menarik dan berjaya mengangkat semangat penyatuan rakyat serta mencerminkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Selamat Hari Kebangsaan. Semoga perpaduan seluruh rakyat Malaysia terus diperkukuh dengan mengetepikan segala perbezaan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Fadillah Yusof pula memuji persembahan dipamerkan semua pihak yang menurutnya menghidupkan semangat kebersamaan.

“Yang penting ialah kita terus bersatu memastikan Malaysia kekal makmur demi kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sambutan bermula pukul 8 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang berkenan memandu sendiri Proton Satria Neo R3 biru bernombor WWW 1 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut mengiringi baginda berdua iaitu Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang memandu sebuah lagi kenderaan Proton Satria Neo R3 warna putih.

Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.

Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.

Sultan Ibrahim turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Kem Perdana Sungai Besi.

Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast