Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

SHAH ALAM – Polis Selangor masih memperincikan siasatan berhubung penahanan anak kepada seorang individu berstatus VVIP selepas dadah ditemukan di dalam kenderaan yang dipandunya pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihak polis memerlukan masa bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan sebarang maklumat terperinci kerana ia boleh menjejaskan proses penyiasatan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan dalam satu operasi pencegahan jenayah bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sekitar Damansara.

Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandunya di Lebuhraya Sprint menemui sejumlah kecil heroin serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

Sumber turut memaklumkan bahawa suspek berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kes berprofil tinggi ini menarik perhatian kerana ia membabitkan anak kepada seorang tokoh ternama, namun polis menegaskan siasatan dijalankan tanpa mengira latar belakang suspek. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast