Penerima Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mengambil peluang untuk berbelanja selepas ianya mula disalurkan bermula hari ini, di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

SUBANG JAYA – Suasana Pasar Raya Besar Mydin di sini pagi ini penuh sesak dengan orang ramai yang mengambil kesempatan cuti umum Hari Kemerdekaan untuk berbelanja barangan keperluan menggunakan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang mula berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati seawal pukul 8 pagi lagi, pengunjung sudah berpusu-pusu memasuki pasar raya tersebut.

Ramai penerima menggunakan peluang cuti bersama keluarga untuk membeli barangan asas selain sebahagiannya merupakan penerima bantuan program MyKasih yang turut sah digunakan di rangkaian Mydin.

Penerima SARA bergambar bersama barangan yang dibeli menuggunakan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Bagaimanapun pelaksanaan hari pertama ini sedikit terganggu apabila sistem pengendalian SARA mengalami kelewatan dan tersangkut sehingga memaksa pihak pasar raya membuat pengumuman berulang kali untuk menenangkan pelanggan.

Difahamkan, gangguan itu bukan sahaja berlaku di Mydin Subang Jaya tetapi di kebanyakan lokasi seluruh negara.

Bagaimanapun suasana kekal terkawal dengan kakitangan Mydin yang siap siaga membantu pelanggan menyelesaikan pembelian masing-masing.

Datang sekeluarga beli keperluan – Shah Izwan

Bagi Shah Izwan Tajeli, beliau hadir bersama tujuh ahli keluarga untuk menggunakan bantuan tersebut namun hanya seorang yang dapat menebusnya kerana SARA diberikan secara individu berdasarkan MyKad.

Penerima, Shah Izwan Tajeli bergambar bersama barangan yang dibeli menuggunakan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

“Kami datang sekeluarga, ingat semua boleh guna sekaligus, rupanya hanya seorang sahaja ikut giliran tapi tetap bersyukur sebab dapat kurangkan belanja hari ini.

“Kalau ikutkan, saya habis lebih RM300 untuk beli barangan dapur. Jadi RM100 ini sekurang-kurangnya ringankan sedikit,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman ialah ahli keluarga lain, Badrulhisham Kassim yang hadir bersama ayahnya yang juga penerima bantuan warga emas di bawah MyKasih.

“Emak saya gunakan MyKasih, jadi memang dapat tampung belanja barang dapur. Memang membantu sangat, cuma hari pertama ini agak perlahan sistem. Harap minggu depan lebih stabil,” ujarnya.

Penerima, Shah Izwan Tajeli bercakap ketika ditemubual mengenai Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Nilai RM100 kecil tapi tetap membantu – Ismail Sulaiman

Seorang lagi pengunjung, Ismail Sulaiman menyifatkan SARA 100 tetap membantu meskipun nilai tersebut tidaklah besar jika dibandingkan dengan kos sara hidup semasa.

“Nak kata besar, memang tidak besar tapi bolehlah tampung sedikit. Sekarang barang-barang dapur pun naik harga, jadi bantuan ini kita guna untuk beli beras, minyak dan keperluan asas. Selebihnya tetap kena tambah dengan duit sendiri,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menambah nilai bantuan atau meluaskan kategori barangan yang boleh dibeli.

Penerima, Ismail Sulaiman bercakap ketika ditemubual mengenai Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Bantuan ini buat saya rasa seronok – Zuraidah Rahamad

Bagi Zuraidah Rahamad dari Puncak Alam, bantuan itu memberi kelegaan kepada mereka yang tidak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Saya ambil kesempatan sebab bila kerajaan bagi, kita rasa seronok. Saya gunakan untuk beli beras, kopi dan barangan asas. Nilai RM100 memang tidak banyak tapi cukup untuk kurangkan beban. Kalau boleh kerajaan bagi secara bulanan lebih bagus sebab kos hidup makin tinggi,” katanya.

Penerima, Zuraidah Rahamad bercakap ketika ditemubual mengenai Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Pandangan belia – Pelajar pun terasa manfaatnya

Golongan muda juga tidak ketinggalan memanfaatkan SARA. Tan Jia Jun, 22, sebagai pelajar, bantuan itu sangat bermakna untuk menampung perbelanjaan harian seperti sarapan dan makan tengah hari.

“RM100 ini memang membantu kami pelajar sebab boleh beli makanan asas. Cuma kalau untuk keluarga besar, mungkin mereka rasa jumlahnya kecil. Tapi sekurang-kurangnya kerajaan beri sedikit sokongan untuk kurangkan kos,” ujarnya.

Penerima, Tan Jia Jun bercakap ketika ditemubual mengenai Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Yang mampu boleh derma melalui Kotak Sara Rahmah – Mydin

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Mydin, Vishnu Varthana Subramany berkata,  mereka yang tidak memerlukan bantuan ini boleh menyalurkannya kepada golongan lain melalui Kotak Sara Rahmah yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kalau ada penerima yang rasa RM100 ini tidak diperlukan, contohnya golongan T20, mereka boleh beli Kotak Sara Rahmah bernilai RM100 yang sudah diisi dengan barangan asas. Kotak itu boleh terus didermakan kepada sesiapa yang memerlukan.

“Selain itu, penerima juga boleh serahkan RM100 mereka dan Mydin bersama JKM akan menyalurkan barangan asas kepada golongan sasar setiap minggu. Jadi walaupun tidak guna sendiri, bantuan tetap sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Pengurus Besar Operasi Mydin, Vishnu Barthana Subramany menunjuk Kotak SARA Rahmah yang di pamerkan di Pusat Membeli-Belah Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

Inisiatif itu menurutnya dilaksanakan di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak dengan kerjasama pihak swasta serta sokongan logistik untuk memastikan penyaluran lebih meluas.

SARA 100 ialah bantuan sekali beri bernilai RM100 melalui MyKad yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025. Ia sah di lebih 4,100 rakan niaga SARA di seluruh negara termasuk rangkaian Mydin serta program Jualan Rahmah.

Wada sedikit gangguan pada hari pertama, rata-rata penerima yang ditemui menyifatkan bantuan ini sebagai langkah tepat untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam menyediakan barangan dapur asas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast