MELAKA – Sambutan Hari Kebangsaan di Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung-julung kalinya menyaksikan acara lintas hormat udara pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sambutan Persiaran Jalan Merdeka Banda Hilir bermula 8 pagi tadi dihadiri lebih 50,000 pengunjung pelbagai lapisan kaum dan umur.
Acara dimeriahkan dengan acara penerjunan bebas (Pasukan 10 Briged (Para) & Bomba) serta Tarian Perang oleh Pasukan 10 Briged (Para).
Terdahulu Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam tiba di pentas utama diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan negeri, agensi dan jabatan.

Pada tahun ini sejumlah 8,167 peserta daripada 147 kontinjen melibatkan pelbagai lapisan masyarakat terlibat dalam perbarisan.
Acara turut diserikan dengan perarakan 442 unit pelbagai jenis kenderaan yang mempamerkan keupayaan dan kepelbagaian logistik jabatan/agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform serta sektor swasta.

Selain perarakan dan perbarisan, sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh artis tempatan dan pelajar.
Turut mencuri tumpuan adalah ersembahan pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu patriotik, pertunjukan darat oleh pasukan keselamatan serta persembahan khas oleh kanak-kanak dan komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















