DAPSY Negeri Sembilan buat laporan terhadap Adun Manjoi berikutan kenyataan berbaur perkauman.

KUALA LUMPUR – DAPSY Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri berhubung kenyataannya yang mendakwa seorang wanita Cina menerjah Tuanku Sultan Perak semasa sambutan Hari Kebangsaan semalam.

Dalam kenyataan medianya, DAPSY Negeri Sembilan berkata, tuduhan itu amat serius kerana dibuat tanpa sebarang pengesahan dan disifatkan bermotifkan politik.

“Kami amat kesal dengan kenyataan tersebut kerana ia jelas bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum. Ia juga mencerminkan kelemahan pihak pembangkang yang gagal menunjukkan pencapaian bermakna sehingga terpaksa menggunakan taktik murahan untuk meraih sokongan,” kata kenyataan itu.

Difahamkan Hafez mendakwa seorang wanita Cina bertindak menghampiri Sultan Perak semasa sambutan Hari Kebangsaan di negeri itu semalam.

Bagaimanapun pihak berkuasa wanita itu yang berusia 41 tahun itu berbangsa Melayu serta mengalami masalah mental dan telah ditahan reman tiga sehingga esok.

DAPSY menegaskan sebagai seorang wakil rakyat, Hafez sepatutnya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan apatah lagi kenyataan yang berpotensi menanam kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang lebih mendukacitakan ialah tuduhan palsu itu telah tular dan dipercayai sebahagian masyarakat sehingga mencetuskan kenyataan berbaur perkauman di media sosial.

“Perkara ini amat dikesali lebih-lebih lagi ia berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan, saat seluruh rakyat sepatutnya meraikan semangat perpaduan dan keharmonian. Ini juga kenyataan salah di sisi undang-undang.

“Kami berpendapat kenyataan tersebut jelas melanggar undang-undang, khususnya di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.

Sehubungan itu, DAPSY Negeri Sembilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar perkara sama tidak berulang dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast