KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan tafsiran jenayah khalwat adalah kabur dan membuka kepada ruang kepada subjektiviti, berat sebelah (bias) dan penyalahgunaan budi bicara.
Menurut beliau, kebanyakan serbuan kes khalwat dilakukan di hotel-hotel murah, di dalam kereta atau di tempat awam iaitu lokasi yang mudah diakses golongan miskin.
Sedangkan, kata beliau, orang Melayu berada seperti ahli Parlimen atau menteri jarang sekali didakwa atas kesalahan khalwat kerana mereka mampu menyewa apartmen peribadi, hotel mewah atau membuat `aturan’ yang lebih sulit.
“Ini menjadikan khalwat sebagai `kesalahan orang miskin’, bukan kerana orang kaya tidak melakukannya tetapi kerana mereka tidak tertangkap.
“Apabila penguatkuasaan secara asasnya bersifat terpilih, ia gagal memenuhi prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Zaid turut merujuk kepada laporan berkenaan sepasang kekasih yang terpaksa meringkuk dalam penjara kerana gagal membayar jaminan sebanyak RM1,500 setiap seorang seperti ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang semalam susulan tuduhan berkhalwat dihadapi mereka.
Menurut Zaid, ikat jamin sebanyak RM1,500 mungkin tidak menjadi masalah kepada keluarga kelas menengah atau atasan.
Namun, katanya, bagi peniaga kecil, pekerja kilang, atau pelajar, ia bermakna mereka perlu ke penjara jika gagal membayar ikat jamin sementara menunggu perbicaraan, ditambah dengan stigma yang melekat, penghinaan umum dan tekanan daripada keluarga.
Sehubungan itu adalah wajar kesalahan khalwat dinyahjenayahkan (decriminalisation) memandangkan khalwat adalah isu moral peribadi antara individu dengan tuhan bukan sesuatu yang wajar membawa seseorang ke penjara.
“Pemimpin berhaluan sederhana seperti Anwar Ibrahim (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said) tentu memahami perkara ini,” katanya.
Menurut Zaid, dengan menyahjenayahakan (decriminalisation) kesalahan khalwat, negara boleh menumpukan kepada masalah sebenar seperti keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan eksploitasi bukan mengawal tingkah laku peribadi yang dilakukan secara suka sama suka.
Jelas beliau, jika matlamat undang-undang khalwat itu untuk mendorong akhlak yang baik, ia boleh dilakukan melalui pendidikan, kaunseling keluarga dan penglibatan masyarakat, bukan melalui hukuman.
Malah, tambahnya, dalam Islam sendiri, perbuatan tajassus (mengintip) adalah dilarang tetapi serbuan khalwat sering bergantung kepada pengintipan yang menceroboh peribadi.
“Kesimpulannya, pendakwaan khalwat paling membebankan golongan miskin. Dekriminalisasi tidak akan melemahkan iman, malah memulihkan keadilan dan kesaksamaan.
“Apa kata Azalina?” katanya. – MalaysiaGazette

















Alhamdulillah…..kini sudah muncul satu saranan yg berfaedah demi kemaslahatan kaum MARHAEN yg tidak mendapat pembelaan wajar dari penguatkuasa. Memang benar pepatah BILIS senang masuk pukat. Diharap saranan ini memcelekkan mata badan yg bertanggungjawab.