KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Mufti dan Timbalan Mufti Sabah terhidu haruman pada jenazah Zara Qairina Mahathir seperti didakwa menerusi video yang tular di media sosial
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas dan boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian negeri Sabah.
Menurutnya, beliau serta timbalannya tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah Zara Qairina seperti yang didakwa oleh `penggali kubur’ menerusi video yang tular itu.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, tular di laman sosial media sebuah video berdurasi 46 saat di media sejak minggu lalu, yang mendakwa Mufti dan Timbalan Mufti Sabah terhidu haruman pada jenazah Zara Qairina ketika proses penggalian semula kubur pelajar berkenaan.
Kubur Zara Qairina digali semula pada 9 Ogos lalu seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Sementara itu, Bungsu menggesa pihak terlibat menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.
“Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut.
“Pejabat Mufti Sabah juga berharap kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















