S. Karunanithy

 

 

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah menahan lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM9,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki motosikal curi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu telah ditahan antara jam 2 hingga 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Jumaat lalu dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Seberang Perai.

“Salah seorang suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara tunai daripada pemilik bengkel motosikal yang terlibat di dalam operasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kesemua suspek ditahan 24 jam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast