KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis ini bagi memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Razak dibenar memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan titah adendum.
Menurut semakan dalam laman web kehakiman, Hakim Alice Loke Yee Ching dijadual menyampaikan keputusan tersebut pukul 2.30 petang.
Beliau menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili pihak kerajaan.

Pada 19 Ogos lalu, Muhammad Shafee berhujah, Najib mempunyai bukti mencukupi yang membolehkan beliau memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan.
Hujah beliau, bekas Perdana Menteri percaya Ahmad Terrirudin ketika itu mempunyai pengetahuan terhadap titah adendum namun didakwa memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Sehubungan itu, katanya, tindakan menghina mahkamah oleh Ahmad Terrirudin, bermula seawal atau sebelum 3 April 2024 apabila mengarahkan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) untuk membantah semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri.
Beliau berhujah, salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, dialamatkan sendiri kepada Ahmad Terrirudin atas kapasitinya selaku Peguam Negara ketika itu.
Beliau menjelaskan, salinan titah itu malah menyebut sendiri nama Ahmad Terrirudin dan jawatan rasminya sebagai Peguam Negara serta mengesahkan hakim berkenaan telah menerima dokumen asal yang membuktikan beliau mengetahui dan mempunyai kawalan peribadi terhadapnya.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee berhujah selaku Peguam Negara, Ahmad Terrirudin mempunyai segala peluang untuk mengesahkan titah berkenaan dengan Istana Pahang.
Selain itu, Muhammad Shafee berhujah, salinan titah adendum yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Muhammad Shafee seterusnya menghujahkan, Peguam Negara ketika ini, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar malah mengakui mengenai kewujudan titah adendum pada prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Seri Paduka ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, Shamsul berhujah, permohonan tindakan menghina mahkamah tersebut wajar ditolak kerana ia bukan sahaja tidak berasas malah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Beliau menegaskan, Peguam Negara bukan mengelirukan mahkamah sebaliknya bertindak betul ketika membantah kebenaran semakan kehakiman Najib atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan bersifat dengar cakap dan andaian semata-mata.
“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan oleh itu tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















