Mangsa, Muhammad Ammar Ariffin difahamkan hilang sejak 23 Ogos lepas.

SERDANG – Polis sedang giat menjalankan siasatan kehilangan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) lebih seminggu lalu ketika mengikuti kursus di Institut Latihan Pengurusan Materiel (INSMAT), Bandar Kinrara, Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Farid Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Ammar Ariffin, 27, dipercayai pergi mandi-manda bersama tiga rakan kursusnya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor pada 23 Ogos lalu.

“Sekitar jam 4.30 petang, mereka bersama-sama mandi di sungai tersebut. Ammar kali terakhir dilihat selepas selesai mandi, sebelum masing-masing pulang menaiki kereta sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Farid, seorang rakan sebilik mangsa cuba menghubunginya kira-kira jam 6 petang pada 24 Ogos, namun telefon bimbit Ammar didapati sudah dimatikan.

“Apabila Ammar gagal pulang dan tidak melaporkan diri, seorang pegawai TUDM dari INSMAT tampil membuat laporan polis pada 25 Ogos, sekitar jam 4.15 petang,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha mengesan Ammar kini sedang dipergiatkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pasukan tentera.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sukri Che Mat di talian 03-8076 2222 atau 03-8071 3136.

Anggota tentera hilang, keluarga rayu Ammar pulang

MalaysiaGazette hari ini melaporkan mengenai kehilangan Ammar selepas perkara itu disahkan oleh kakaknya.

Difahamkan, Ammar merupakan seorang anggota tentera berpangkalan di Subang dan ketika ini sedang mengikuti kursus di INSMAT, Puchong.

Keluarga mangsa turut memaklumkan dua laporan polis sudah dibuat, masing-masing oleh penyelia tentera di Balai Polis Kinrara dan oleh ibunya di Balai Polis Ulu Yam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast