KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera berpangkat Laskar Udara Kanan yang berpangkalan di Subang, Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu selepas gagal kembali ke kem dan tidak dapat dihubungi keluarga.
Ammar, yang sedang mengikuti kursus di Institut Latihan Tentera Udara (INSMAT) Kinrara, Puchong itu sepatutnya melapor diri di kem pada 24 Ogos pukul 10 malam namun sehingga kini kelibatnya tidak diketahui.
Menurut kakaknya, Anis Aqilah Mohd Ariffin, pihak keluarga mula menyedari kehilangan Ammar apabila menerima panggilan daripada penyelianya pada malam berkenaan.
“Mama saya dapat panggilan mengatakan adik saya tidak lapor diri. Kami cuba hubungi dia berkali-kali tapi telefonnya dimatikan. WhatsApp hanya tanda single tick sejak malam itu. Kami semua sangat risau kerana langsung tidak ada khabar,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hasil maklumat yang diperoleh keluarga daripada rakan-rakan dan pihak berkuasa, Ammar dilihat kali terakhir pada Sabtu 23 Ogos.
Difahamkan pada pagi hari itu, dia dikatakan pergi berjogging di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama teman wanitanya.
Beberapa jam kemudian, Ammar keluar bersama rakan-rakan sekerjanya untuk mand di Sungai Kedondong, Batang Kali.
Menurut mereka, Ammar tiba agak lewat dan tidak pasti di mana dia meletakkan kenderaannya dan selepas itu, tiada siapa mengetahui keberadaannya.
Namun sehari sebelum itu, iaitu pada Jumaat malam (22 Ogos), Ammar dipercayai terlibat dalam kemalangan kecil melanggar belakang sebuah kenderaan sebelum melarikan diri dari lokasi.
Lebih mencemaskan, kenderaan yang dilanggarnya itu difahamkan milik seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Polis kata kemungkinan adik saya panik dan takut kerana melanggar kereta seorang pegawai. Tapi yang merisaukan kami sekarang ialah status dia. Itu yang kami mahu tahu,” kata Anis dengan nada sebak.
Dalam masa sama, dua laporan polis telah dibuat penyelianya membuat laporan di Balai Polis Kinrara manakala ibu Ammar membuat satu lagi laporan di Balai Polis Ulu Yam.

Sejak kehilangannya, keluarga Ammar mencarinya di semua hospital berhampiran sudah diperiksa menggunakan nombor kad pengenalannya namun tiada rekod kemasukan ditemui setakat ini.
Keluarga turut menitipkan pesanan penuh harapan agar Ammar segera pulang.
“Muhammad Ammar Mohd Ariffin, kalau abang baca ini, tolonglah balik. Mama tunggu. Kami semua rindu. Jangan biarkan kami terus dalam kebimbangan.
“Kalau rindu Mama sangat berharap agar Ammar hubunginya. Mama tersangatla rindu nak peluk Ammar. Mama hari-hari solat hajat untuk Ammar.
“Mama tak marah dan jangan sekali Kali anggap Ammar sudah kecewakan mama. Mama sayang Ammar walau apa pun yang terjadi,” luah Anis.
Setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang laporan rasmi berhubung kehilangan ini manakala keluarga mangsa berharap anggota itu akan pulang ke pangkuan keluarga. – MalaysiaGazette
















